my sweet liitle world

my sweet liitle world
my son

Monday, September 3, 2012

Alahan Semasa Mengandung

Alahan semasa mengandung sering dikaitkan dengan muntah-muntah, pening kepala dan perut berasa sebu dan tidak selesa. Keadaan ini biasa berlaku apabila anda baru bangun dari tidur dengan mengalami sedikit pening dan muntah, namun ada juga yang akan mengalaminya sepanjang hari. Keterukan alahan bergantung kepada individu dan ada juga wanita yang bernasib baik yang tiada alahan langsung.

Punca alahan
Punca sebenar alahan sebenarnya masih kurang jelas. Kebanyakan penyelidik percaya yang alahan wanita mengandung disebabkan oleh perubahan fizikal dan hormon pada badan. Ada juga pendapat yang mengatakan alahan mungkin disebabkan oleh ketidak seimbangan paras gula dalam darah.

Bila alahan berlaku?
Kebiasaannya, wanita mengandung akan mengalami alahan dalam trimester pertama. Apabila usia kandungan mencecah trimester kedua, alahan akan beransur-ansur hilang. Walau bagaimana pun, ada sesetengah individu akan mengalami alahan yang berlanjutan sehingga bersalin.

Kebanyakan wanita yang mengalami alahan semasa mengandung akan sedikit sebanyak merasai kesannya pada rutin seharian. Ada yang terpaksa menukar perancangan harian untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ini, malah ada yang terpaksa bercuti dari kerja kerana alahan yang terlalu teruk.

Kesan alahan terhadap kesihatan
Secara amnya, alahan dalam jangka masa pendek tidak akan menjejaskan kesihatan ibu dan bayi. Jika alahan anda terlalu teruk sehingga apa yang dimakan akan dimuntahkan kembali, bayi berkemungkinan akan kekurangan nutrisi untuk perkembangannya dan kesihatan ibu akan terjejas. Tambahan lagi, ibu akan mengalami dehidrasi (kekurangan air dalam badan). Simptom dehidrasi ialah pening-pening, dahaga dan air kencing sedikit daripada biasa. Jika anda mengalami simptom-simptom ini, anda memerlukan rawatan dengan segera. Ibu yang mengalami dehidrasi biasanya akan diberi cecair dan suplemen tambahan melalui drip.

Cara mengatasi alahan

Makanan
  • Apabila anda sedar di waktu pagi, makan kraker atau biskut dan rehat selama 15 minit, kemudian barulah bangun.
  • Bangun perlahan-lahan dan jangan terus baring selepas makan.
  • Kerap makan snek atau hidangan dalam kuantiti yang kecil supaya perut tidak kosong (contoh: setiap 2 jam) walau pun anda tidak lapar.
  • Makan apa sahaja yang anda mahu tapi elakkan mengambil makanan pedas, berlemak dan bergoreng.
  • Jika anda tidak tahan dengan bau yang kuat ketika memasak, buka tingkap dan kipas. Lebih baik jika orang lain yang memasak.
  • Makan makanan yang sudah sejuk berbanding makanan panas kerana makanan yang sudah sejuk kurang baunya.
  • Hidu bau limau nipis, limau kasturi atau halia boleh meredakan perut yang berasa sebu atau tidak selesa.
  • Elakkan mengambil kafein dan merokok.

Minuman
  • Minum air dengan kerap sehingga 12 cawan sehari.
  • Elakkan minum semasa makan serta sebaik sahaja sebelum dan selepas makan.
  • Pengambilan air halia boleh mengurangkan rasa mual.

Rutin harian
  • Berehat secukupnya kerana alahan akan bertambah buruk apabila kepenatan. Tidur sekejap di siang hari kerana biasanya pada trimester pertama, wanita mengandung kerap berasa letih dan mengantuk.
  • Dapatkan bantuan untuk mengemas rumah dan menjaga anak yang lain. Pastikan anda peruntukkan masa untuk berehat.
  • Bersiar-siar dan lakukan senaman ringan di luar rumah untuk dapatkan udara segar. Buka tingkap rumah untuk pengudaraan yang baik dalam rumah.
  • Elakkan tempat panas kerana kebiasaannya alahan akan bertambah teruk.
  • Jika pengambilan vitamin mengandung anda menyebabkan alahan bertambah teruk, minta nasihat doktor.
  • Bergerak perlahan-lahan dan elakkan pergerakan pantas.
  • Jangan gosok gigi sebaik sahaja lepas makan kerana ini boleh menyebabkan rasa mual.
  • Dapatkan sokongan daripada orang yang rapat (contoh: suami, ibu bapa, rakan)

Bila anda perlu dapatkan nasihat doktor?
  • Cadangan di atas tidak memberikan kesan.
  • Anda muntah lebih dari 3-4 kali sehari dan sebaik sahaja makan, anda muntah.
  • Berat badan anda menurun dengan banyak.
  • Muntah anda mengandungi darah atau berwarna hitam pekat.
  • Anda mengalami simptom-simptom dehidrasi.
  • Anda risau dengan keadaan anda atau merasakan perubahan serius pada kesihatan anda.

Fakta badan anda selepas bersalin

Badan anda mengalami pelbagai perubahan semasa mengandung dan juga selepas bersalin. Berikut merupakan fakta-fakta menarik tentang badan anda selepas bersalin:-

1) Berat badan berkurangan 4-5 kg sejurus selepas bersalin

Benar. Sejurus selepas bersalin, berat badan berkurangan sebanyak 4-5 kg kerana berat bayi yang mempunyai berat 2-4 kg sudah selamat dilahirkan. Di samping itu, darah dan cecair amniotik juga akan keluat semasa bersalin. Dalam masa seminggu, anda akan kehilangan lagi 1-2 kg cecair yang menyebabkan anda sembab semasa trimester terakhir mengandung. Untuk kembali ke berat badan asal sebelum bersalin, berikan masa secara berperingkat dan bukannya mendadak dengan bersenam, menyusu badan dan menjaga pemakanan. Anda mengambil masa 9 bulan untuk menambah berat badan semasa mengandung, jadi berikan masa yang sama untuk mengurangkannya kembali ke asal

2) Keguguran rambut

Benar. Hampir 50% wanita akan mengalami keguguran rambut yang biasanya berlaku sebulan sehingga 6 bulan selepas bersalin. Peningkatan hormon estrogen semasa mengandung melambatkan proses pengguguran rambut dan melebatkan rambut. Selepas bersalin, hormon akan mengambil masa untuk kembali kepada normal sebelum rambut anda kembali kepada kitaran asal pertumbuhan dan pengguguran. Bagi mengekalkan rambut yang sihat dan mengelakkan keguguran rambut, ambil makanan yang kaya dengan protein, zat besi, zink, flavonoids, antioksidan dan silika yang bermanfaat kepada kulit kepala dan rambut.


3) Anda perlu makan lebih banyak semasa menyusu badan

Palsu. Kalori yang terdapat dalam susu badan kebiasaannya adalah dari lemak badan yang terkumpul (yang menebal semasa anda mengandung). Pantau berat badan anda sepanjang menyusu supaya berat badan anda berkurangan 500-1000 g seminggu, sehingga anda mencapai berat badan ideal. Jika berat badan berkurangan melebihi 1 kg seminggu, makan berlebihan sedikit (200-300 kalori sehari). Pastikan anda mengamalkan pemakanan yang seimbang kerana nutrisi yang terkandung dalam makanan akan juga diserap dalam susu badan. Amalkan pemakanan buah, sayur, susu rendah lemak, bijirin penuh dan protein sepanjang menyusu. Anda juga boleh mengambil vitamin suplemen supaya vitamin dan mineral dalam badan sentiasa mencukupi buat anda dan anak tersayang.

4) Jerawat

Benar. Kitaran daran akan meningkat sebanyak 50% semasa mengandung, terutamanya di bahagian muka. Selepas bersalin, kitaran darah akan kembali ke normal dan kitaran hormon yang masih tidak stabil akan menyebabkan wajah anda mungkin ditumbuhi jerawat. Bagi mengelakkan masalah ini, pastikan wajah dicuci sekurang-kurangnya 2 kali sehari dan gunakan produk penjagaan muka yang mengandungi retinoid. Retinoid akan mempercepatkan proses pertumbuhan sel kulit dan menaikkan seri wajah. Bagi yang mempunyai masalah jerawat yang teruk, gunakan produk mengandungi kombinasi benzyl peroxide dan retinol. Walau bagaimana pun, jika anda menyusu, dapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan produk tersebut untuk memastikan ia selamat buat bayi anda.

5) Perut buncit selepas bersalin kerana rahim mengembang semasa mengandung

Palsu. Perut anda buncit dan menggeleber selepas bersalin adalah disebabkan oleh diastasis recti, iaitu pemisahan otot perut yang paling luar. Keadaan ini sememangnya normal bagi wanita selepas bersalin dan menyebabkan tisu perantara yang sebelum ini menyambung otot-otot perut yang terpisah, akan tertarik ke bahagian tepi abdomen anda. Akibatnya, tisu perantara tersebut yang akan menyokong organ dalam badan dan bukannya otot perut. Ini menyebabkan perut anda nampak buncit dan masalah lain timbul seperti postur badan yang salah. Bagi membetulkan masaalah ini, senaman dan pemakanan yang betul adalah sangat penting.


6) Kesan rekahan kulit perut adalah kekal

Benar dan palsu. Sebannyak 90% wanita mengandung akan mengalami kesan rekahan kulit perut atau “stretch marks”. Rekahan ini disebabkan oleh penambahan berat badan yang pantas dimana badan berkembang lebih cepat daripada kemampuan kulit untuk menampungnya. Selain itu, peningkatan hormon glucocorticoids semasa mengandung melambatkan pembentukan kolagen dan fiber elastin dalam lapisan kulit. Kesan rekahan pada kulit perut akan kekal jika anda tidak mengambil langkah-langkah awal untuk mencegahnya. Langkah awal yang dimaksudkan ialah dengan mengelakkan pengambilan makanan yang tinggi kanji, manis, berlemak dan masin bagi mengelakkan penambahan berat badan yang berlebihan. Ambil makanan yang kaya dengan vitamin C kerana ia penting untuk pembentukan kolagen. Selain itu, minum banyak air supaya kulit akan lebih elastik. Anda juga boleh menyapu produk seperti Bio Oil sejak trimester pertama lagi bagi mengekalkan lembapan dan elastisiti kulit. Bagi anda yang telah lama mempunyai rekahan kulit, bukannya tiada harapan lagi untuk menghilangkannya. Warna rekahan akan beransur-beransur menjadi lebih pudar dengan masa dan tidak akan kelihatan jelas lagi (nak menyedapkan hati sendiri

Fakta berat badan yang perlu diketahui semasa mengandung

1) Gemuk boleh diturunkan secara genetik

Saintis telah menemui “gen gemuk” di dalam tikus gemuk beberapa tahun yang lalu. Kini, gen yang sama telah ditemui dalam manusia yang meningkatkan kemungkinan untuk menghidap penyakit kencing manis. Hasil kajian menunjukkan, manusia yang mempunyai dua salinan gen tersebut mempunyai risiko sebanyak 40% untuk mendapat kencing manis dan 60% untuk menjadi obes (gemuk) berbanding yang tiada gen tersebut. Bagi yang mempunyai satu salinan gen ini juga didapati mempunyai berat badan yang lebih daripada normal. Faktor ini boleh diubah dengan menjaga pemakanan dan bersenam supaya sentiasa mencapai berat badan ideal.

2) Kandungan sel lemak lebih tinggi dalam sesetengah manusia

Sesetengah orang mempunyai kandungan sel lemak sehingga 2 kali ganda lebih tinggi. Golongan ini akan tetap mempunyai kandungan sel lemak yang sama walau pun berat badan mereka berkurangan. Sel-sel lemak terbentuk sejak kecil dan berhenti dihasilkan apabila mencapai usia remaja. Sel-sel ini terbentuk sejak umur 2 tahun lagi bagi sesetengah yang mempunyai sel-sel lemak yang tinggi. Tetapi, jangan risau! Apa yang penting ialah saiz sel-sel lemak tersebut. Golongan yang mempunyai kandungan sel-sel lemak yang tinggi tetapi bersaiz kecil adalah lebih baik daripada golongan yang mempunyai kandungan sel lemak yang rendah dan bersaiz besar. Walaupun anda tidak berupaya untuk mengurangkan kuantiti sel-sel lemak dalam badan, anda berupaya mengawal saiz sel-sel lemak supaya tidak terdedah kepada risiko penyakit.

3) Metabolisma badan boleh diubah

Dalam satu kajian yang dijalankan terhadap pasangan kembar yang mempunyai berat badan yang berbeza (seorang kurus dan seorang lagi gemuk), saintis mendapati sel lemak dalam individu kembar yang gemuk mengalami perubahan metabolisma yang meyebabkan lemak lebih sukar dibakar. Saintis tersebut membuat kesimpulan, lebih banyak lemak seseorang, lebih perlahan metabolisma anda, maka lebih sukar untuk anda menurunkan berat badan. Cara untuk mengatasinya ialah dengan melakukan aktiviti-aktiviti fizikal yang mencukupi seperti berolahraga, bersukan dan bersenam.

4) Tekanan boleh menggemukkan

Kajian yang telah dijalankan terhadap tikus yang dikenakan tekanan (seperti diletakkan dalam suasana bising dan sejuk) menunjukkan tikus-tikus ini lebih tenang apabila diberikan makanan berkarbohidrat tinggi. Apabila makanannya ditukar kepada yang kurang kandungan karbohidrat, hormon stres dalam badan tikus meningkat. Situasi yang sama ditemui dalam manusia. Apabila kita terdedah kepada tekanan (seperti bos yang mendesak, masaalah kewangan dan sebagainya), keinginan untuk menikmati makanan yang berkarbohidrat tinggi (seperti makanan manis) meningkat kerana makanan sebegini akan meredakan stres.

Hormon stres juga akan menyebabkan lemak disimpan dalam kadar yang lebih tinggi. Di zaman purba, suasana tertekan seperti dikejar harimau atau musim kemarau menyebabkan proses penyimpanan lemak lebih logik kerana mereka memerlukan tenaga berlebihan untuk mengatasi situasi tertekan tersebut. Walaubagaimana pun, kehidupan kita pada hari ini lebih terdedah kepada situasi tertekan yang kurang aktif seperti termenung memikirkan masaalah atau duduk menyiapkan kerja pejabat yang bertimbun. Maka, kalori yang terkumpul semasa tertekan tidak digunakan dan berkumpul sebagai lemak terutamanya di bahagian perut. Ini boleh dielakkan dengan meredakan stres seperti beriadah, bermunajat, membaca Quran dan meluangkan masa bersama keluarga tersayang.

5) Ibu mengandung yang gemuk berkemungkinan mempunyai anak yang berobesiti tinggi

Kajian terhadap tikus menunjukkan ibu tikus yang obes semasa mengandung mempunyai kandungan gula dan lemak yang tinggi dalam rahim. Akibatnya, penghasilan protin yang boleh mengganggu sistem metabolik dan kawalan pemakanan di dalam otak bayi yang sedang berkembang. Kajian yang dijalankan terhadap tikus kebiasaannya boleh diaplikasikan terhadap manusia. Pakar perubatan dari University of New York telah membandingkan anak-anak yang dilahirkan oleh ibu yang sama tetapi mempunyai berat badan yang berbeza semasa mengandung. Anak-anak yang dilahirkan semasa ibu tersebut mempunyai berat badan ideal didapati tidak mempunyai masalah obesiti berbanding anak-anak yang dikandung semasa ibu tersebut gemuk. Jadi, anda sebagai ibu boleh membantu menentukan tahap kesihatan bakal anak yang dilahirkan dengan mengamalkan pemakanan sihat semasa mengandung.



6) Tidur yang mencukupi untuk mengurangkan berat badan

Individu yang kurang tidur akan menyebabkan rasa lapar. Kenapa? Penyelidik dari Univeristy of Chicago melaporkan, kekurangan tidur akan menyebabkan gangguan hormon dimana peningkatan hormon ghrelin (penyebab rasa lapar) dan penurunan hormon leptin (penyebab rasa kenyang) berlaku. Jadi, kita akan berasa lapar walaupun sebenarnya perut sudah pun kenyang. Amalkan tidur yang mencukupi (7-8 jam sehari) sebagai ubat diet yang paling mudah dan murah.

7) Berat badan pasangan boleh mempengaruhi berat badan anda

New England Journal of Medicine mendapati jika suami atau isteri mengalami obesiti, risiko pasangannya untuk turut obes meningkat sehingga 37%. Alasannya, gaya hidup pasangan akan mempengaruhi gaya hidup anda jua. Jika pasangan anda mengamalkan gaya hidup yang sihat, anda juga akan terpengaruh disebabkan anda berasa lebih sihat dan ceria. Sebaliknya, jika pasangan anda mengamalkan gaya hidup kurang sihat, ia turut mempengaruhi anda untuk menikmati makanan yang kurang sihat tetapi amat menggembirakan deria rasa. Kesimpulannya, jadilah pasangan yang mempengaruhi ke arah gaya hidup yang lebih sihat. Apatah lagi, jika anda isteri yang sentiasa memasak makanan yang sihat dan menyajikan juadah yang sihat untuk keluarga tersayang.

8)Virus boleh menyebabkan kegemukan

Virus yang dikenali sebagai adenovirus merupakan punca masaalah kesihatan pernafasan sehinggalah usus. Virus ini dikaitkan dengan kegemukan apabila penyelidik dari University of Wisconsin menyuntik ayam dengan pelbagai virus dan mendapati beberapa jenis virus mengakibatkan ayam menjadi lebih gemuk. Sel-sel stem yang berfungsi memperbaiki sistem dalam badan individu dewasa didapati bertukar kepada sel-sel lemak apabila dijangkiti virus-virus tersebut.

9) Makanan boleh menyebabkan ketagihan

Ketagihan memakan tidaklah seserius ketagihan dadah. Walaubagaimana pun, penyelidikan yang melibatkan individu-individu menamakan makanan kegemaran mereka mendapati, bahagian otak yang menjadi aktif semasa menamakan makanan kegemaran adalah sama dengan bahagian otak yang aktif di dalam penagih dadah. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh hormon dopamin yang dikaitkan dengan motivasi dan keseronokan. Tindak balas ini menyebabkan kita makan dengan lebih banyak kerana rasa seronok dan puas apabila menikmati makanan kegemaran, tambahan lagi jika ia dinikmati dlam keadaan tertekan!

10) Jangkitan kuman di telinga boleh mempengaruhi deria rasa

Penyelidikan di University of Florida mendapati individu yang berumur 35 tahun ke atas yang pernah mendapat jangkitan kuman di telinga mempunyai risiko 2 kali ganda menjadi gemuk. Jangkitan kuman di telinga boleh merosakkan saraf yang mengakibatkan deria rasa terhadap makanan manis dan berlemak meningkat. Akibatnya, individu yang pernah mendapat jangkitan kuman di telinga akan lebih menggemari makanan manis dan berlemak sekaligus menyebabkan kegemukan. Bagi individu yang mengalami masaalah ini, cari alternatif lain bagi makanan manis dan berlemak seperti buah-buahan dan makanan kurang lemak tepu. Bagi yang merokok, ketahuilah bahawa asap rokok boleh meningkatkan risiko jangkitan kuman di telinga kanak-kanak. Merokoklah di tempat yang berjauhan dengan kanak-kanak atau lebih baik lagi, berhenti merokok!

11) Antioksidan berfungsi sebagai anti-gemuk

Radikal bebas bukan sahaja merupakan punca kita nampak tua, tetapi ia juga boleh bertanggung jawab menjadikan kita gemuk. Radikal bebas ini merosakkan sel-sel yang berfungsi memberitahu kita sudah kenyang. Makanan yang kaya dengan lemak dan gula mengandungi radikal bebas yang tinggi. Elakkan makanan ringan dan tingkatkan pengambilan makanan kaya antioksidan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

12) Pastikan anda gemuk dan sihat


Bancian yang dijalankan di Amerika Syarikat mendapati 51% individu dengan berat badan berlebihan dan lebih 32% individu obes mempunyai tekanan darah, tahap kolesterol dan gula yang normal. Ia turut melaporkan 24% individu dengan berat badan yang normal mempunyai masalah metabolik yang boleh mengakibatkan penyakit kronik seperti sakit jantung. Daripada bancian ini, boleh disimpulkan bahawa saiz badan bukanlah penentu kesihatan seseorang. Yang pentingnya ialah apabila seseorang mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti berikut:

  • Melakukan aktiviti fizikal selama 30 minit, 5 kali seminggu. Senaman, berjalan, naik tangga, berbasikal atau aktiviti yang menaikkan kadar denyutan jantung dikira sudah mencukupi.
  • Ambil karbohidrat dalam bentuk bijirin penuh.
  • Tingkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Elakkan makanan berlemak tepu dan lemak trans.
  • Makan makanan berprotein tinggi (tauhu, ikan, dada ayam) dan kurangkan makanan berprotein yang bercampur dengan lemak (daging, paha ayam, burger, sosej)

Mengidam semasa mengandung

 

Terdapat wanita mengandung yang mengalami keinginan yang sangat tinggi untuk makan sesuatu. Keadaan ini di panggil mengidam. Para penyelidik telah cuba menentukan sama ada wanita yang mengidam makanan tertentu kekurangan nutrien yang terkandung dalam makanan tersebut. Walau bagaimana pun, ini bukanlah sebabnya dan puncanya yang sebenar masih menjadi tanda tanya.
Sesetengah pakar perubatan menjangkakan mengidam berlaku disebabkan perubahan hormon yang berlaku dalam tubuh wanita mengandung. Perubahan hormon boleh meningkatkan kepekaan deria bau (yang berkait rapat dengan deria rasa) pada wanita mengandung, sekaligus mempengaruhi pemakanannya. Alahan semasa mengandung seperti pening, kembung perut, keletihan atau muntah-muntah akibat perubahan hormon juga boleh menjadi sebab wanita mengandung mengidamkan makanan yang boleh mengurangkan atau melegakan alahan.
Kebanyakan wanita mengandung mengidam makanan daripada coklat sehinggalah nasi beriani yang dijual di kedai mamak sahaja. Kadang-kadang permintaan untuk menikmati makanan yang diidamkannya boleh timbul bila-bila masa saja termasuklah pukul 2, 3 pagi (kesian suami…). Mengidam makanan yang berkhasiat seperti buah-buahan tidak akan mendatangkan masalah.
Mengidam boleh mendatangkan masalah apabila ibu mengidam sesuatu yang pelik seperti tepung jagung atau benda yang bukan makanan seperti tisu, tanah liat dan sebagainya. Walau pun tepung jagung adalah makanan, pengambilannya yang berlebihan boleh menyebabkan anda terlalu kenyang, mengganggu sistem penghadaman dan menyekat selera anda untuk mengambil makanan berkhasiat. Mengidam benda yang bukan makanan atau “pica” harus dielakkan kerana ia mungkin akan memudaratkan bayi dan ibunya. Jika anda mempunyai keinginan tinggi untuk mengambil sesuatu yang pelik atau bukan makanan, berjumlah doktor untuk langkah seterusnya.
Cuba elakkan mengambil makanan yang disenaraikan di bawah walau pun setinggi mana keinginan anda untuk memakannnya kerana ia boleh memudaratkan kandungan anda:
  • Makanan laut, daging dan telur mentah atau yang tidak masak sempurna (ex: sushi, telur kampong mentah, rare @ medium steak)
  • Susu atau hasil tenusu yang tidak dipasteur (ex: Mexican cheese, unpasteurised milk)
  • Jus buah atau sayur yang tidak dipasteur
  • Teh herba
  • Alkohol
Mengidam sebenarnya tidak akan mendatangkan masalah selagi ibu mengandung mengambil diet yang seimbang. Walau bagaimana pun, berhati-hati jika anda menggemari makanan yang berkalori tinggi seperti makanan manis dan berlemak kerana ia akan meningkatkan risiko kencing manis dan darah tinggi semasa mengandung.
Cara untuk mengatasi mengidam semasa mengandung adalah seperti di bawah:
  • Jadikan pemakanan anda seimbang apabila anda mengidamkan makanan yang tinggi kalori. Contonya, lebihkan aneka buah-buahan dalam ais krim anda supaya seimbang nutriennya.
  • Fokuskan pemakanan anda pada makanan yang rendah kalori seperti yoghurt, oat meal bar.
  • Jika anda mengidam makanan yang tinggi kalori, beli saiz yang lebih kecil supaya mengelakkan pemakanan yang berlebihan.
  • Jika mengidam ‘menguasai’ hidup anda, cari aktiviti yang boleh membuatkan anda melupakannya seperti berjalan-jalan bersama suami dan menonton wayang.
  • Makan dengan jumlah yang sedikit tetapi kerap supaya paras gula dalam darah tidak jatuh yang boleh menyebabkan anda makan berlebihan. Cuba makan makanan seimbang 6 kali sehari.
  • Lakukan aktiviti fizikal dan senaman yang dibenarkan oleh doktor.
  • Ambil makanan seimbang termasuk susu, bijirin, sayur dan buah-buahan.
  • Sokongan moral amat penting kerana emosi ibu mengandung yang tidak stabil akan menjadikan makanan sebagai teman rapat, sedangkan pelukan daripada suami sebenarnya sudah mencukupi untuk meredakan emosi ibu mengandung

Panduan Pemakanan Ibu Mengandung

 
Semasa mengandung, anda bukan sahaja perlu meningkatkan jumlah pemakanan anda, tetapi yang lebih penting ialah apa yang anda makan. Kebiasaannya, wanita mengandung memerlukan penambahan 300 kalori/hari daripada biasa terutamanya semasa trimester terakhir di mana bayi membesar dengan pantas. Penambahan 300 kalori sehari tersebut penting diperolehi daripada makanan yang berkhasiat supaya ia boleh menyumbang kepada pembentukan dan perkembangan bayi.
Mengapa pemakanan sihat penting semasa mengandung
Pernahkah anda terfikir mengapa berat badan anda bertambah 10-15 kg (secara purata) semasa anda mengandung sedangkan berat bayi yang baru lahir hanya ¼ daripada itu? Walau pun ianya berbeza bagi setiap individu wanita yang mengandung, faktor-faktor di bawah menyumbang kepada pertambahan berat badan:
  • Berat bayi : 2.5 – 3 kg
  • Penyimpanan protein, lemak dan nutrien lain yang berlebihan : 2.75 – 3 kg
  • Penambahan darah : 1.5 – 2 kg
  • Penambahan cecair badan yang lain : 1.5 – 2kg
  • Pembesaran payudara : 0.75 – 1 kg
  • Pembesaran uterus (rahim) : 0.75 – 1 kg
  • Cecair amniotik (air ketuban) : 0.75 – 1 kg
  • Plasenta (uri) : 0.5 – 0.75 kg
Selain daripada penambahan berat bayi, faktor-faktor lain juga penting untuk memastikan fisiologi ibu berubah mengikut keperluan ibu mengandung. Corak penambahan berat semasa mengandung bagi individu juga berbeza. Jika anda mula mengandung semasa berat badan berlebihan, berat anda mungkin akan turun sedikit pada awal trimester manakala penambahan akan berlaku bagi ibu yang kurus atau mengandung anak kembar.

Makanan semasa mengandung
Semasa mengandung, apa sahaja yang anda makan dan minum merupakan sumber utama nutrien bagi bayi anda. Pemakanan anda berkait rapat dengan kesihatan bayi sehinggakan kebanyakan doktor menasihatkan supaya tidak mengambil sebarang risiko dengan makan makanan yang berkemungkinan memudaratkan bayi seperti alkohol.
Sama ada anda mengandung atau tidak, diet yang sihat merangkumi protein, karbohidrat, lemak, vitamin, mineral dan air yang mencukupi. Jika anda mengamalkan pemakanan mengikut sistem piramid makanan, ini menunjukkan yang anda berpotensi untuk menjadi individu yang sihat.
Penting bagi ibu mengandung untuk memvariasikan makanannya bagi memperoleh semua keperluan nutrisi ibu dan bayi. Makanan yang perlu dimakan semasa mengandung ialah:
  • Buah-buahan dan sayur-sayuran – target untuk makan 5 hidangan sehari termasuk sebagai snek, jus dan salad.
  • Makanan berkanji – roti, nasi, pasta, ubi kentang. Banyakkan bijirin penuh (wheat, whole grain)
  • Makanan berprotein tinggi – Daging, ayam, ikan, telur, kekacang (soya). Banyakkan makan ikan sekurang-kurangnya 2 kali seminggu.
  • Makanan berkalsium tinggi – Susu, yoghurt, cheese.
  • Makanan berserat tinggi – Jadikan sayur, buah, bijirin dan kekacang sebagai makanan kegemaran kerana ia boleh mengelakkan sembelit.

Piramid makanan
Piramid Makanan
Minum banyak air dan elakkan makanan berlemak dan bergula tinggi seperti kek dan coklat kerana ia mengakibatkan pertambahan berat badan berlebihan dan seterusnya meniggikan risiko mendapat kencing manis (gestational diabetes mellitus)
Jika anda sukakan snek, ambil raisin, biskut bijirin penuh (Jacob’s atau IKO), salad buah, yoghurt atau sebarang makanan bernutrisi yang lain.
Perkara yang perlu diambil berat semasa membeli makanan
Makanan basah seperti ikan, ayam dan daging harus dibeli segar dan dijamin kebersihannya. Pastikan sayur-sayuran dan buah juga segar dan tidak mengandungi pestisid (kebiasaannya, sayur berlubang dimakan ulat atau serangga tiada pestisid). Bagi makanan yang dibungkus atau dalam tin, baca label makanan yang menunjukkan kandungan nutrisi dan kalori makanan tersebut. Terdapat juga label makanan yang memberikan cadangan hidangan yang bersesuaian bagi diet seharian. Apabila anda mengandung, cadangan hidangan bersesuaian juga sebenarnya bertambah seiring dengan keperluan untuk penambahan kalori. Periksa label makanan sebelum membelinya supaya makanan tersebut dapat dipastikan:
  • HALAL kerana makanan akan menjadi darah daging anda dan bayi
  • Berkhasiat untuk kesihatan anda dan bayi
Perhatikan juga tarikh lupus (expiry date) makanan dan pastikan pembungkus / tin makanan dalam keadaan sempurna (tiada kebocoran, tercemar, kemek). Walau pun nampak remeh, tetapi ia sebenarnya penting kerana makanan yang tercemar atau sudah lupus tarikhnya boleh menyebabkan anda keracunan makanan sekaligus boleh memudaratkan kesihatan bayi anda.
Bagaimana anda tahu yang pemakanan anda sihat semasa mengandung
Kunci utamanya ialah dengan mempelbagaikan pengambilan makanan dalam kumpulan yang berbeza-beza (seperti yang dicadangkan di atas) dengan jumlah yang mencukupi. Jangan risau jika anda mengalami alahan yang teruk dan tiada selera makan pada trimester pertama. Keadaan ini tidak akan memberikan impak yang besar kepada bayi anda kerana bayi akan mendapat nutrisi terdahulu daripada anda sebaik sahaja anda makan. Bagi yang mengalami alahan yang mencapai trimester kedua sehingga bersalin, pastikan anda tetap makan makanan berkhasiat- biar sedikit tetapi kerap. Walau pun penambahan berat badan ideal semasa mengandung yang dicadangkan ialah 10-15 kg (kebiasaannya 1.5 – 2.5 kg pada trimester pertama dan 0.25 – 0.5 kg / minggu pada trimester ke -2 dan 3), jangan hadkan diri anda. Sebaliknya, fokus pada pemakanan yang sihat dan seimbang untuk memastikan anda dan bayi sihat.

 

Doa dan amalan ketika mengandung

 

Sewaktu mengandung, sebaik-baiknya kita membaca surah-surah di dalam Al-Quran untuk dijadikan amalan harian.
Ia juga baik diamalkan sewaktu membesarkan anak-anak.
1. Surah Yusuf: Utk mendapatkan anak yang comel/cantik
2. Surah Luqman: Utk mendapatkan anak yang bijak/pintar/pandai
3. Surah Maryam: Utk mendapatkan anak yang soleh
4. Surah An-Nahl ayat 78: Utk memudahkan bersalin (dengan izin Allah SWT)
5. Surah Al-Fatihah
6. Surah Yaasin
7. Surah Ayatul Kursi
8. Surah Al-Araaf ayat 189
9. Surah Al-Imran ayat 38: Doa memohon anak yang baik
10. Surah Al-Imran ayat 8-9: Doa memohon rahmat
11. Surah Ibrahim ayat 40: Doa agar anak tetap mengerjakan solat
12. Surah Al-Baqarah ayat 128: Doa agar anak patuh kepada Allah SWT
13. Surah Yassin ayat 22 – 23: Untuk menjaga aqidah/memberi hidayah kepada anak
14. Surah As-Sajdah ayat 7-9: Doa agar anak menjadi orang yang soleh dan baik
15. Surah Al-Furqan ayat 74: Doa agar dikurniakan anak yang menyejukkan/menyenangkan hati ibu bapa/doa untuk mendisiplinkan anak/doa untuk kebahagiaan sekeluarga.
***************************************
Untuk mudahkan anak-anak menerima pelajaran, suruh anak-anak mengamalkan bacaan surah Al-Insyirah ayat 1 – 8 (Alam Nasyrah) dan surah Al-Alaq (Iqra’) dalam solat Subuh.
Selain itu, hafal serta amalkan surah An-Nur ayat 30 untuk terangkan hati, insya-Allah.
SURAH AL-IIIJ’R (Batu Gunung)
Barangsiapa membaca 3 ayat yang terakhir dari surah ini ke atas perempuan yang selalu anak kandungannya gugur, nescaya anak kandungannya itu akan terselamat.
SURAH YUNUS (Yunus)
Barangsiapa membaca ayat 31 dari surah ini ke atas perempuan yang hamil, nescaya ia melahirkan anak dalam kandungannya itu dengan selamat.
SURAH YUSUF (Yusuf)
Barangsiapa membaca ayat 68 dari surah ini, nescaya Allah akan mengurniakan kesolehan kepada anak-anaknya.
Barangsiapa membacanya akan dimurahkan rezekinya dan diberikan kemuliaan kepadanya.
Barangsiapa membaca ayat 64 dari surah ini, ia akan terhindar dari kepahitan dan kesukaran hidup.
SURAH IBRAHIM (Ibrahim)
Barangsiapa membaca ayat-ayat 32 hingga 34 dari surah ini, nescaya anak-anaknya akan terhindar dari perbuatan-perbuatan syirik dan bida’ah.
SURAH MARYAM (Maryam)
Barangsiapa membacanya, nescaya akan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.
SURAH AS-SAJDAH (Sujud)
Barangsiapa membaca ayat-ayat 7 hingga 9 dari surah ini ke atas kanak-kanak yang baru lahir, nescaya ia akan terhindar dari segala penyakit rohani dan jasmani.
SURAH LUQMAN (Luqman)
Barangsiapa membacanya, nescaya ia akan terhindar dari segala penyakit terutama dari penyakit perut.
Barangsiapa membaca ayat 31 dari surah ini, nescaya akan terselamat dari bencana banjir.
Wallahu a’lam.
http://aidura.blogspot.com/
Buat ikhwah sekalian…
Seorang wanita yang sedang hamil, atau hendak melahirkan, digalakkan membaca wirid dan doa-doa, yang berupa wirid dan doa harian (bersifat umum) mahupun yang lebih bersifat khusus lagi. Lebih-lebih, ketika sedang menjalani proses persalinan. Sebab, pada ketika itu, ia sedang dalam keadaan tertekan, sakit, takut, khuatir, gundah, dan sedang berada dalam kesukaraan.

Apakah ada amalan wirid dan doa khusus untuk wanita hamil? Alhamdulillah, dari sebuah buku yang berjudul “Wirid Ibu Hamil” karya Ummu Abdillah Naurah binti Abdirrahman, terbitan Pustaka Arafah. Penghantar buku ini ialah Syaikh Abdullah bin Abdurrahman Al-Jibrin (Anggota Dewan Fatwa Kerajaan Saudi Arabia).

Berikut ini ada beberapa kutipan sebahagian doa yang tercantum dalam buku tersebut.


Bacaan ayat-ayat Al-Quran.
1. Membaca Surah Al-’A'raaf : Ayat 54 – 56

Ibnul Qoyyim raahimahullah dalam kitab Al-Waabil Ash-Shayyib (h. 176) menyebutkan bahawa ketika Fathimah Radiallahu ‘Anha mendekati masa kelahiran bayinya, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam memerintahkan Ummu Salamah dan Zainab binti Jahsy agar datang untuk membacakan ayat Kursi kepadanya dan juga ayat inna robbakum…dan

Doa Semasa Hamil dan Amalan Semasa Mengandung

 

 
Normal bagi masyarakat kita, semasa mengandung untuk mengamalkan beberapa petua, bukan saja untuk kesejahteraa ibu semasa mengandung, malah juga untuk bayi dalam kandungan dan semasa proses bersalin. Selain dari yang berbentuk fizikal seperti regular check up, elakkan aktiviti lasak, etc. amalan dan petua yang popular ialah yang bersangkutan dengan kerohanian.
Dengan itu timbullah banyak amalan2, zikir2 serta surah2 yang bagus untuk diamalkan semasa mengandung, antaranya:
  • Surah Yusuf - untuk anak yang cantik rupa dan akhlak
  • Surah Luqman – untuk anak yang cerdik
  • Surah Yaasin – untuk anak yang teguh hati dan tidak terpengaruh dengan maksiat
  • Surah Maryam – untuk memudahkan bersalin
  • Surah al-Hujurat – untuk membanyakkan susu ibu
  • dan sebagainya.
Doa semasa hamil – Ya Allah, peliharalah anakku ini selama ia berada di dalam perutku, dan sihatkanlah dia, Engkau yang menyembuhkan, tidak ada penyembuhan selain penyembuhanMu, Penyembuhan yang tidak meninggalkan penyakit. Ya Allah, rupakanlah atau bentukkanlah dia yang ada diperutku dengan rupa yang baik dan tetapkanlah di dalam hatinya iman kepada Engkau dan kepada RasulMu. Ya Allah, keluarkanlah dia dari perutku dengan mudah dan selamat. Ya Allah jadikanlah dia sihat yang sempurna berakal dan pandai, alim dan beramal. Ya Allah, panjangkanlah umurnya, sihatkanlah badannya, baikkanlah akhlaknya, fasihkanlah lisannya, baguskanlah suaranya untuk membaca Al-Quran dan hadis dengan berkat Nabi Muhammad S.A.W, dan segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.
Semasa mengandung juga digalakkan menjaga lidah, menjaga sikap, menjaga perangai, menjaga hati dan sebagainya, agar anak yang dikandung beroleh segala kebaikan dan keberkatan.
Malah, termasuk juga si bapa, digalakkan memperbanyakkan amalan sunat, mengaji, bersedekah, bersabar, tenang dan gembira agar proses mengandung dan bersalin berlangsung dengan selamat dan anak yang bakal lahir akan terjaga emosinya dan mendapat rangsangan awal.
Orang2 tua juga ada petua tersendiri untuk ibu mengandung seperti tak boleh makan benda2 sejuk dan berangin, tak boleh memburu binatang, tak boleh siang ikan, tak boleh potong binatang, bawa paku dan sebagainya. Tapi biasanya benda ni orang dah tak pakai sebab tak relevan lagi di zaman moden serba canggih ni. Iyolah, kalau dah mak yang masak hari2, tak boleh potong binatang, pe jadahnya nak makan sayur setiap hari? Ingat herbivor ke. Tapi bagus jugak kan alasan ni dipakai untuk upah tukang masak (makan luar ler..).
Walau bagaimanapun, agak sayang kadang2, sebab amalan itu cuma dibuat semasa mengandung saja. Kalau tak mengandung, usahkan nak mengaji, al-Quran pun dah lupa letak di mana. Usahkan nak baca surah Yusuf (yang masa mengandung sehari dalam 10kali baca sebab nak anak hensem), surah al-Ikhlas pun baca masa solat je. Pastu mulut pun ikut lepas sedap dia je, masa mengandung bukan main lagi jaga, takut2 terkena pada anak.
Mungkin sebab itulah Allah berikan nikmat syahid kepada ibu yang meninggal semasa melahirkan anak. Bukan saja pengorbanan sakit melahirkan, tapi juga banyaknya amalan semasa mengandung. Agak2 kalau time lain, memang tak layak langsung nak dapat syahid, tapi masa mengandung memang solehah habis.
Alangkah menariknya jika amalan2 tersebut dapat dilakukan secara berterusan, bukanlah sebab kita sebagai ibu, tapi kerana kita juga sebagai hamba. Allah menyukai amalan yang istiqamah – amalan yang sedikit tapi berterusan. Lagipun, dengan meniatkan amalan2 semasa mengandung untuk dapatkan anak yang begini-begini, dapatlah anak yang begini-begini, tapi apakah kita pernah terfikir akan pahala yang kita dapat kerana niat yang bukan Lillahi Taala?
Tapi bagus juga la, sekurang2nya ada juga masa dalam hidup ni yang mana kita fokus terhadap ibadat dan menjaga akhlak kan. Kalau masa lain tu tak tentu lagi.
Sebetulnya, saya tiada amalan/surah/doa tertentu semasa mengandung. Saya meneruskan pembacaan al-Quran seperti biasa kerana saya percaya al-Quran adalah Syifaa’, dan juga membaca surah2 di atas tadi tu sebagai tambahan.
Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita ibu2 ni untuk melakukan suatu amal yang istiqamah dan sentiasa dapat dicontohi oleh anak2 kita, dan yang penting membanteras amalan2 yang tak ada kena mengena dengan hakikat kehidupan sebenar (amalan2 khurafat, etc.) dan roket sains.